Jumaat, 5 Julai 2013

Rawatan & pencegahan sakit belakang dan sakit pinggang




 Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan sempurna.

Antara faktor penyumbang kepada masalah sakit belakang termasuk postur (kedudukan) badan yang tidak betul, melakukan aktiviti di luar kebiasaan dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif. Malah, terlalu banyak rehat juga boleh menyebabkan kita mengalami sakit belakang kerana badan manusia dicipta untuk kita bergerak aktif; bukan berehat santai sepanjang masa. Bahkan duduk terlalu lama juga boleh menyebabkan kita sakit belakang kerana ketika duduk, kita memberi tekanan paling tinggi kepada bahagian bawah tulang belakang.

Antara faktor penyumbang sakit belakang ialah:
Obesiti
Merokok
Tekanan
Keadaan fizikal tidak elok
Postur badan yang salah
Posisi tidur tidak elok
Tiada sokongan daripada tilam ketika tidur.

Sakit belakang, khususnya pada bahagian pinggang boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius terutama bagi kesakitan yang disertai demam atau hilang kawalan untuk buang air kecil atau besar; sakit ketika batuk dan kaki terasa semakin lemah.

Diagnosis Dan Rawatan
Masalah sakit belakang dapat dikesan melalui sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan ini seperti sinar - X, diskografi (ejen pembandingan akan disuntik ke dalam cakera) dan tomografi komputer (CT) ialah kaedah cepat untuk mengetahui jika pesakit mengalami masalah cakera, stenosis spina atau kerosakan pada mana-mana tulang belakang.

Manakala ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan bagi mengesan masalah kemerosotan, kecederaan atau penyakit pada tisu, saraf, otot, ligamen dan salur darah. Imbasan tulang pula adalah untuk mengesan dan memantau jika berlaku jangkitan, keretakan atau penyakit pada tulang belakang.

Kebanyakan masalah sakit belakang khususnya sakit pinggang boleh dirawat tanpa pembedahan. Antara kaedah rawatan adalah untuk mengawal kesakitan, mengurangkan keradangan, mengembalikan fungsi dan kekuatan bahagian belakang serta mencegah kecederaan daripada berulang:

1)      Menekap bahagian yang sakit dengan ais atau pek panas.
2)      Mandi air suam membantu merehatkan otot.
3)      Berehat di katil (baring).
4)      Bersenam
5)      Bagi sakit belakang akut dan kronik, Doktor akan memberikan ubat untuk merawat. . Selain itu terapi intervensi  termasuklah suntikan ubat bius steroid pada tisu, sendi atau akar saraf) dan suntikan epidural
1)      Pembedahan adalah pilihan terakhir, selepas semua kaedah lain tidak berjaya mengurangkan kesakitan

P/S: Bersenam adalah cara yang paling berkesan untuk mempercepatkan penyembuhan kepada masalah sakit belakang (khususnya sakit pinggang) dan menguatkan otot belakang dan abdomen. Antara senaman yang mudah dilakukan ialah senaman regangan, berenang, berjalan atau menjalani terapi pergerakan bagi memperbaiki koordinasi dan keseimbangan untuk postur dan otot.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan